Popular Posts

Saturday, March 19, 2011

HATINYA DI MASJID

Hampir dua dekad saya dilahirkan, saya tidak pernah melihat kakinya jauh dari masjid. Masjid jugalah menjadi rumah kedua beliau yang sering dikunjungi hampir setiap waktu. Subuh, Zohor, Asar, Maghrib mahupun Isyak. Ini menjadikan beliau sentiasa berada di barisan saf yang pertama. Tidak pernah melihat beliau menjadi imam, sekadar kudrat menjadi makmum sudah cukup membuatkan saya berasa bangga dengannya. Kini umurnya sudah menjangkau hampir 70 tahun. Kelihatan kedut di muka menjadi tanda usianya yang semakin senja.
Bahawasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat- sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk(Surah at-Taubah : 18)
Saya memanggilnya dengan panggilan abah merangkap pakcik saya sendiri. Rumah kami hanya bersebelahan sahaja. Perhubungan kami juga sangat akrab. Sejak saya kecil sehinggalah dewasa, panggilan abah sudah cukup sebati. Beliau juga pernah menjadi guru Al-Quran ketika saya berumur 9 tahun.
Cerita itu sudah lama. Kini usia saya yang sudah menginjak ke 21 tahun. Namun, apa yang pasti hatinya masih melekat di masjid. Subhanallah. Saya benar-benar terkesan.
Kerjanya bukan di pejabat. Tetapi di bawah panas terik, membanting tulang mencari rezeki. Berkhidmat membina rumah. Itu kerjanya. Kerja orang kampung. Sebelum memulakan kerja, di awal pagi sudah terpacak di kebun getah untuk mencari hasil. Itulah rutin seharian beliau dalam mencari punca rezeki. Namun kini beliau tidak mempunyai kekuatan untuk membina rumah lagi. Kudratnya kini  hanyalah menoreh getah sehingga ke hari ini. Semakin uzur.Namun, hatinya masih melekat di masjid.
ALLAH MENGUJI IMANNYA
Beliau menggunakan motosikalnya setiap kali mahu ke masjid. Tetapi suatu ketika motosikalnya pernah rosak dan tidak boleh digunakan semula. Siapa sangka, beliau sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk membeli motosikal. Siapa kata motosikal tersebut untuk ke bandar? Tidak pernah sesekali. Hanya untuk ke masjid!
Jika saya berada di rumah, saya hanya berkesempatan bersolat di masjid ketika waktu Maghrib dan Isyak. Sepanjang saya hidup, saya tidak pernah melihat beliau di barisan belakang kecuali di saf pertama. Bagaimana insan ini mampu bertahan sehingga hari ini. Kasihnya pada Allah.
Pada tahun 1995, suatu kejadian yang tidak diduga berlaku di depan mata saya. Rumahnya hangus terbakar dijilat api. Ketika itu usia saya baru sahaja berumur 7 tahun dan ketika itu saya sedang bermain 'masak-masak' bersama sepupu. Kedengaran letupan kecil di atas rumah. Saya bingkas bangun dan melihat api sudah marak di bahagian atas. Apa yang saya mampu hanyalah menjerit ketika itu. Apabila mengingatkan kembali peristiwa itu, secara logik akalnya rumah beliau dapat diselamatkan. Namun akibat cemas, mata hanya mampu melihat, hati hanya mampu merintih. Allah sedang mengujinya ketika itu.
Tangisan kedengaran. Saya hanya mampu memandang dari jauh. Kelihatan orang kampung sedang menenangkan beliau. Walau bagaimanapu peristiwa itu sudah hampir 15 tahun berlalu. Ujian menjadikan beliau sentiasa tabah mengharungi kehidupan.
MENGHADAPI HARI-HARI TERAKHIR
Saya tidak mahu masjid di kampung sepi tanpa kehadirannya. Bimbang andai beliau pergi  dahulu sebelum saya. Apa yang boleh saya simpulkan, sifat rendah diri, hidup dalam keadaan serba sederhana menjadikan dunia ini benar-benar sementara buatnya.
"Abah dah tak larat, kau bawaklah (pimpin) tahlil untuk saudara" katanya sewaktu menyerahkan majlis tahlil sempena perhimpunan keluarga besar sebelah ayah saya.
Kata-kata itu menunjukkan isyarat bahawa waktunya hampir tiba. Saya seolah-olah tidak mahu kehilangannya. Siapa mampu menolak suratan takdir. Semoga Allah mempermudahkan segala urusannya. Amin.

PENCIPTA DAN PENCIPTAAN


Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa itu belum ada sebarang apapun? (Surah Maryam:67)
Allah Maha Pencipta
Pernahkah kita terfikir? "Bagaimana alam ini terbentuk?" "Bagaimana matahari dan bulan terbentuk?" "Di manakah adik-adik sebelum dilahirkan?" "Bagaimana lautan, pokok-pokok, dan haiwan muncul?" "Bagaimana buah-buahan yang harum dan berwarna-warni, seperti pisang, plam, ceri dan strawberi, dapat muncul daripada tanah yang hitam? Siapa yang memberikan warna dan bau kepada mereka?" "Daripada siapakah lebah yang kecil ini belajar membuat madu yang begitu enak?" Bagaimana ia membuat sarang yang mempunyai persimpangan-persimpangan yang lancar?" "Siapakah manusia pertama?"
Ibu kamu telah melahirkan kamu. Tetapi manusia pertama tidak mungkin mempunyai emak dan bapa. Jadi, bagaimana manusia pertama muncul?"
Allah telah menjadikan kita, mata kita, rambut kita, dan kaki kita. Dia juga pencipta keluarga kita, kedua ibubapa, abang dan kakak, kawan-kawan dan guru-guru. Allah telah menjadikan makanan yang kita gemari untuk kita, coklat, kek dan gula-gula, buah-buahan dan sayur-sayuran yang menjadikan kita kuat dan sihat. Jika Allah tidak mejadikannya, kita tidak dapat tahu bagaimana rasanya coklat.
Allah juga mengurniakan kita deria rasa dan bau. Jika Dia tidak memberikan kita keistimewaan ini, kita tidak mungkin dapat merasa makanan yang kita makan. Sama sahaja sama ada kita makan kentang atau kek. Allah tidak hanya menjadikan makanan yang lazat dan harum, Dia juga menganugerahkan kita keistimewaan yang membolehkan kita menikmatinya.
Kerana Allah mengasihi hambanya, Dia sentiasa memberikan kita perkara yang baik dan indah.
Mulanya kamu tidak wujud. Fikirkan, kamu tidak wujud sebelum kamu dikandung (di dalam perut ibu kamu). Kamu kosong. Allah menjadikan kamu. Dia menjadikan kamu daripada kekosongan.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa bersyukur setiap detik di dalam hidup kita. Di dalam setiap perkara yang kita nikmati dan gemari, kita hendaklah mengingati Allah, dan berkata, "Saya sentiasa menyukuri setiap apa yang Kamu berikan". Apabila kita berada pada situasi yang tidak kita sukai, sekali lagi kita perlu berdoa kepada Allah, kerana hanya Dia yang dapat memperbaiki situasi tersebut.
Allah sentiasa mendengar doa dan membalasnya, kerana Dia mengetahui apa yang ada di dalam minda kita.
Di sebalik Penciptaan Adanya Pencipta
Semua benda yang ada di dunia ini ada penciptanya. "Sebelum" adanya Masa, siapakah yang menciptakan Masa?  Sebelum adanya ruang di langit untuk planet-planet, siapakah yang menciptakan ruang itu? tentu Pencipta itu sangat berkuasa, tidak tertakluk oleh penciptaannya yakni masa dan ruang. Dialah Allah, Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui segala sesuatu tentang apa yang Dia ciptakan.
وَٱللَّهُ أَخۡرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ أُمَّهَـٰتِكُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ شَيۡـًٔ۬ا وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَ‌ۙ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah An-Nahl:78) 
Sombongkah aku kiranya tidak mahu membalas pesanan ringkasmu?
Sombongkah aku jika membiar sepi YM darimu?
Sombongkah aku jika aku hanya membiarkan panggilan darimu berlagu tidak berjawab?

Ya,aku memang sombong.
Namun aku sombong bertempat!
Bukan pada semua.
Tapi hanya padamu,lelaki ajnabi yang tidak halal buatku.
Pantaskah aku membalas SMS mu kiranya luahan rindu yang kau ucapkan?
Perlukah aku membalas YM mu jika omongan cinta yang kau ingin bicarakan?
Haruskah aku berbual denganmu jika tiada perkara penting yang mahu dibincangkan?
Kau bukan suamiku,perlukah kita melakukan semua itu?
Tepuk dada,tanyalah imanmu sendiri wahai teman.
Maaf aku tidak sanggup melakukan semua itu jika murka Allah yang ku dapat
Jika kerana sikapku ini kau memanggilku sombong, nah silakan.
Aku tidak peduli.
Jika kerana ini kau memandangku seorang yang kolot
Aku masih juga tidak peduli
Apalah sangat pandanganmu jika dibandingkan dengan pandangan murka Tuhanku
Kiranya aku mengikut kemahuanmu
Aku lebih takutkan Tuhan yang menjadikan kau dan aku.
Sebelum tiba masanya, biarlah kulabuhkan dulu cintaku pada-Nya
sebelum kulabuhkan cintaku kepada yang berhak keatasku kelak
Hanya untuk suamiku,cinta halal bagiku.

BIASA YANG BERBISA


Kelihatan seekor kala jengking berdiri di tebing sungai. Ingin menyeberang ke tebing sebelah sana. Lalu, ia meminta katak membawanya ke tebing seberang sana.
"Bagaimana aku yakin kau tidak akan menyengat aku?" Tanya katak.
"Kerana aku akan lemas kalau aku menyengat engkau," jawab kala jengking.
Ada benarnya kata-kata kala jengking itu, lalu katak membenarkan kala jengking memanjat ke belakangnya. Dan katak pun berenang.
Sampai di pertengahan sungai, kala jengking menyengat belakang si katak. Sebelum kedua-duanya lemas, sempat katak bertanya, "tapi kenapa?"
"Biasa lah," jawab kala jengking. Dan kedua-duanya mati lemas, di tengah sungai.
Biasa buat? Bisa buat?
Banyak benda biasa, yang mana bila kita biasakan, boleh menjadi bisa yang akhirnya membunuh diri kita. Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Ibnu Rajab al-Hanbali dan Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab mereka Tazkiyatun Nufuz wa Tarbiyatuha kama yuqarrirruhu Ulama As Salafmenuliskan terdapat empat racun hati yang paling biasa dilakukan, tetapi mempunyai kesan besar kepada hati, iaitu banyak berbicara, pemandangan yang tidak dijaga, terlalu banyak makan dan banyak bergaul dengan sembarangan orang.
Abu Hurairah berkata, hati adalah raja anggota tubuh. Dan anggota tubuh adalah para perajuritnya. Apabila raja baik, maka baik lah para perajuritnya. Dan apabila raja busuk, maka busuk lah para perajuritnya.
"Biasalah!"
Selalu kita dengar orang beralasan dengan alasan 'biasa' bila ditegur tentang sesuatu. "Biasalah. Doktor hisap rokok, ustaz-ustaz pun hisap rokok," itulah jawapan bila ditanya kenapa merokok.
"Alah, lewat sikit saja, bukan tak datang langsung pun. Biasalah, kita kan orang Melayu," respon bila digesa untuk tidak datang lewat.
Apa masalah sebenar?
Masalah doktor atau ustaz juga hisap rokok, atau masalah dilahirkan sebagai orang Melayu (baca: salah ibu mengandung)?
Atau ini sebenarnya masalah sikap?
Benar. Ini masalah sikap (attitude). Firman Allah dalam Surah Ar-Rad, ayat 11 yang bermaksud,"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka".
Ayat ini benar. Bila kita mengubah sikap kita terhadap masa, kerja, orang sekeliling, wang, ilmu dan sebagainya, kita sebenarnya sedang memperbaik kejayaan kita.
Tetapi, bolehkah kita mengubah sikap, tanpa terlebih dahulu menjaga hati kita?
Fikir dengan akal, tilik pakai hati.

HATI SEORANG AYAH


Suatu ketika, ada seorang anak perempuan yang bertanya kepada ayahnya dikala melihat ayahnya mengusap wajahnya yang mulai berkerut dengan badannya yang terbongkok-bongkok, disertai suara batuk-batuknya.
Anak perempuan itu bertanya pada ayahnya: "Ayah, mengapa wajah ayah kian berkerut-merut dengan badan ayah yang kian hari kian membongkok?"
Demikian pertanyaannya, ketika ayahnya sedang berehat di beranda.
Si ayah menjawab: "Sebab ayah seorang lelaki."
Anak perempuan itu berkata sendirian: "Saya tidak mengerti." disulami dengan kerutan di kening kerana jawapan ayahnya membuatnya dirinya kebingungan.
Ayah hanya tersenyum. Dibelainya rambut anaknya itu lalu menepuk-nepuk bahunya, kemudian si ayah mengatakan: "Anakku, kamu memang belum mengerti tentang lelaki."
Demikian bisik si ayah, menambahkan kebingungan di hati si anak.
Kerana perasaan ingin tahu, kemudian si anak mendapatkan ibunya lalu bertanya kepada ibunya, "Ibu, mengapa wajah Ayah jadi berkerut dan badannya kian hari kian membongkok? Dan sepertinya ayah menjadi demikian tanpa ada keluhan dan rasa sakit?"
Lantas Ibunya menjawab: "Anakku, jika seorang lelaki yang benar-benar bertanggungjawab terhadap keluarga memang akan kelihatan demikian."
Hanya itu jawapan si ibu. Si anak itupun kemudian membesar dan menjadi dewasa, tetapi dia tetap juga masih tercari-cari jawapan, mengapa wajah ayahnya yang tampan menjadi berkerut-merut dan badannya kian membongkok?
Sehinggalah pada suatu malam, dia bermimpi. Di dalam mimpi itu seolah-olah dia mendengar suara yang sangat lembut, namun jelas sekali.
Dan kata-kata yang terdengar dengan jelas itu ternyata suatu rangkaian kalimah sebagai jawapan rasa kebingungannya selama ini.
"Saat Ku-ciptakan lelaki, aku membuatnya sebagai pemimpin keluarga serta sebagai tiang penyangga dari bangunan keluarga, dia senantiasa akan berusaha untuk menahan setiap hujungnya, agar keluarganya merasa aman, teduh dan terlindung."
"Ku ciptakan bahunya yang kuat dan berotot untuk membanting-tulang menghidupi seluruh keluarganya dan kegagahannya harus cukup kuat pula untuk melindungi seluruh keluarganya."
"Ku berikan kemahuan padanya agar selalu berusaha mencari sesuap nasi yang berasal dari titisan keringatnya sendiri yang halal dan bersih, agar keluarganya tidak terlantar, walaupun seringkali dia mendapat cercaan dari anak-anaknya".
"Ku berikan keperkasaan dan mental baja yang akan membuat dirinya pantang menyerah, demi keluarganya dia merelakan kulitnya tersengat panasnya matahari, demi keluarganya dia merelakan badannya berbasah kuyup kedinginan dan kesejukan kerana tersiram hujan dan dihembus angin, dia relakan tenaga perkasanya dicurahkan demi keluarganya, dan yang selalu dia ingat, adalah disaat semua orang menanti kedatangannya dengan mengharapkan hasil dari jerih-payahnya."
"Kuberikan kesabaran, ketekunan serta kesungguhan yang akan membuat dirinya selalu berusaha merawat dan membimbing keluarganya tanpa adanya keluh kesah, walaupun disetiap perjalanan hidupnya keletihan dan kesakitan kerapkali menyerangnya."
"Ku berikan perasaan cekal dan gigih untuk berusaha berjuang demi mencintai dan mengasihi keluarganya, didalam suasana dan situasi apapun juga, walaupun tidaklah jarang anak-anaknya melukai perasaannya, melukai hatinya.Padahal perasaannya itu pula yang telah memberikan perlindungan rasa aman pada saat di mana anak-anaknya tertidur lelap. Serta sentuhan perasaannya itulah yang memberikan kenyamanan bila saat dia sedang menepuk-nepuk bahu anak-anaknya agar selalu saling menyayangi dan saling mengasihi sesama saudara."
"Ku berikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk memberikan pengertian dan kesedaran terhadap anak-anaknya tentang saat kini dan saat mendatang, walaupun seringkali ditentang bahkan dikotak-katikkan oleh anak-anaknya."
"Ku berikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk memberikan pengetahuan dan menyedarkan, bahawa isteri yang baik adalah isteri yang setia terhadap suaminya, isteri yang baik adalah isteri yang senantiasa menemani, dan bersama-sama menghadapi perjalanan hidup baik suka mahupun duka,walaupun seringkali kebijaksanaannya itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada isteri, agar tetap berdiri, bertahan, sepadan dan saling melengkapi serta saling menyayangi."
"Ku berikan kerutan diwajahnya agar menjadi bukti, bahawa lelaki itu senantiasa berusaha sekuat daya fikirnya untuk mencari dan menemukan cara agar keluarganya dapat hidup didalam keluarga bahagia dan badannya yang terbongkok agar dapat membuktikan, bahawa sebagai lelaki yang bertanggungjawab terhadap seluruh keluarganya, senantiasa berusaha mencurahkan sekuat tenaga serta segenap perasaannya, kekuatannya, kesungguhannya demi kelanjutan hidup keluarganya."
"Ku berikan kepada lelaki tanggungjawab penuh sebagai pemimpin keluarga, sebagai tiang penyangga (seri/penyokong), agar dapat dipergunakan dengan sebaik-baiknya. Dan hanya inilah kelebihan yang dimiliki oleh lelaki, walaupun sebenarnya tanggungjawab ini adalah amanah di dunia dan akhirat."
Terkejut si anak dari tidurnya dan segera dia berlari, berlutut dan berdoa hingga menjelang subuh.
Setelah itu dia hampiri bilik ayahnya yang sedang berdoa, ketika ayahnya berdiri si anak itu menggenggam dan mencium telapak tangan ayahnya.
"Aku mendengar dan merasakan bebanmu, ayah."
Oleh itu jika ayah kita masih hidup jangan sia-siakan kesempatan untuk membuat hatinya gembira. Bila ayah kita telah tiada, jangan putuskan tali silaturahim yang telah dirintisnya dan doakanlah agar Allah selalu menjaganya dengan sebaik-baiknya. Amin.

SIAPA YANG CANTIK??


Siapa yang cantik? Awak cantik? Saya? Atau dia?
Kalau di Bollywood mungkin kata mereka, Aishwarya Rai yang tercantik, atau di Hollywood, Paris Hilton adalah cantik pada pandangan mereka dan mungkin juga di Malaysia, Fasha Sandha yang tercantik.
Siapa agaknya yang dapat memberi definisi dan ciri-ciri tepat tentang apa yang dikatakan sebagai 'cantik'?
Cantik adalah sesuatu yang sangat subjektif. Setiap orang mempunyai definisi kecantikan masing-masing.
Mungkin bagi saya, cantik adalah begitu dan begini, tapi bagi anda, lain pula.
Tiada siapa dapat memberi definisi tepat tentang cantik.
Mata lah yang akan mendefinisi cantik. Namun kini, pada pendapat saya, barat sudah pun mempengaruhi definisi cantik pada dunia dan hampir seluruh dunia memakai definisi cantik barat.
Kadang kala, cantik juga didefinisi mengikut tempat, kaum dan budaya.
Kalau di barat sekarang, the thinner the better, tapi berbeza pula di Mauritania, Africa, the bigger the better.
Orang di barat berperang dengan aneroksia dan bulimia akibat mahu kurus, sebaliknya di Mauritania, wanita mengamalkan 'makan paksa' sejak berumur 5-6 tahun untuk gemuk, agar menjadi cantik dan mudah mendapat jodoh.
Sungguh berbeza kan? Definisi kecantikan yang sungguh berbeza.
Ataupun, ada juga yang sanggup melakukan pelbagai cara yang pada pandangan kita pelik dan tidak masuk akal tetapi pada mereka, itulah cantik!
Satu kaum di Thailand menganggap leher panjang itu cantik, lantas sejak dari umur 5 tahun lagi, mereka sudah dipakaikan gelang logam di leher agar leher mereka akan menjadi semakin panjang dan panjang dan panjang justeru mereka cantik dan mudah mendapat jodoh.
Di Sarawak pula, suku kaum Oran Ulu menganggap telinga panjang itu sangat cantik pada mata mereka, lagi panjang, lagi cantiklah seseorang wanita itu pada pandangan mereka.
Tapi kini, generasi muda sudah tidak lagi mengamalkan amalan ini. (Mungkin sudah terikut-ikut definisi cantik barat..hmmm)
Perlukah jadi cantik?
Di Mexico, kaum wanita menghabiskan separuh dari gaji mereka untuk kecantikan seperti ke salun, malahan ada juga pakej bayar secara ansuran untuk pembedahan plastik.
Atau di Iran, pembedahan hidung sangat popular di sana.
Wanita Iran sanggup berkorban wang ringgit demi mendapatkan hidung yang diidam-idamkan lantaran kata mereka, hidung mereka besar.
Tetapi saya tertanya-tanya juga, bukankah mereka Islam dan Islam melarang pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan? Wallahualam.
Bayangkan betapa wanita-wanita ini mahu kelihatan cantik.
Betapa pentingnya menjadi cantik pada seorang wanita itu.
Macam-macam sanggup dikorbankan, wang ringgit, masa, kesakitan yang perlu ditanggung demi cantik, bahkan, hukum agama pun sanggup dilanggar demi cantik.
Tidak kisahlah perbuatan mereka dilarang agama, janji mereka kelihatan cantik. Plastic surgery,Botoxliposuctiongastric bypass sekarang bermain di sekitar hidup wanita demi cantik.
Walaupun mereka sedar akan kesan sampingan perbuatan ini, semua itu ditolak tepi, demi CANTIK.
Innallah jamil, wa yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.
Kata mereka, apabila diri terasa cantik, barulah mereka ada keyakinan diri.
Saya juga bersetuju dengan ini, tetapi bukanlah sampai sanggup berkorban segalanya demi cantik.
Allah suka akan kecantikan, tetapi bukan lah sehingga mengubah ciptaanNya.
Tambahan lagi, mereka yang ekstrem mahu kelihatan cantik ini, bukanlah mahu kelihatan cantik di mata Allah, tapi di mata manusia. Semuanya dilakukan agar kelihatan cantik pada manusia dan agar mendapat tempat di hati manusia.
Dulu sewaktu kecil, saya juga suka kelihatan cantik.
Kalau baju pink, maka seluruh badan perlu pink termasuklah sepit dan pengikat rambut. Tapi kini, saya bukan perempuan yang obses cantik, kerana pada saya, cantik bukan sekadar di wajah, tapi cantik itu dari akhlak dan keimanannya kepada Pencipta.
Cantik akan pudar walau cuba dipertahankan, tapi akhlak itu hiasan yang kekal pada diri seorang wanita.
Wanita yang cantik akhlaknya, maka cantiklah luarannya.
Tiada guna mempunyai wajah seindah bidadari kerana satu hari nanti, kita cuma akan menjadi tengkorak yang menakutkan.
Bukanlah tidak perlu menjadi cantik dan perlu mejadi buruk sedangkan Allah menyukai kecantikan, tetapi, biarlah cantik itu kerana Allah, dan definisi cantik itu juga perlu sesuai dengan Islam.
Janganlah sanggup melanggar larangan agama demi kelihatan cantik.
Perbaikilah akhlak diri sekaligus, anda akan kelihatan cantik pada pandangan Allah dan pandangan manusia.
Bersyukurlah dan berpuas hati lah dengan kurniaan Allah kepada kita, dan gunakan ia sebaik-baiknya hanya keranaNya.
Tiada yang lebih indah pada ibu bapa selain anak-anak yang soleh solehah, tiada yang lebih bahagia pada seorang suami selain seorang isteri yang solehah dan tiada yang lebih bernilai pada Allah selain hambaNya yang soleh solehah